| |
|
|
|
Selera Restoran Buluh
Review
| Viewed 2908 times
|
Terpesona melihat kreativiti dekorasi bahan daripada buluh di Restoran Istana Bambu di Jalan Hulu Klang, bersebelahan lebuh raya MRR2 berhampiran susur ke AU, Keramat.
Meskipun baru lebih dua bulan beroperasi, nama restoran dimiliki Ofisgate Properties Sdn Bhd itu kian menjadi sebutan, terutama penggemar hidangan tempatan di Lembah Klang.
Biarpun berada tidak jauh dari lebuh raya tetapi suasana restoran dibina di kawasan seluas 0.9 hektar itu memang tenang dan nyaman kerana ia menggunakan hampir sepenuh hiasan serta dekorasi daripada buluh.
Pemiliknya, Mohamad Zaki Dimyati, berkata selain mempunyai dekorasi unik, restoran berkenaan juga menyediakan beraneka jenis hidangan seperti menu popular masyarakat tempatan, masakan Thai, Cina serta makanan laut.
Menurutnya, andainya berkesempatan mengunjungi restoran itu, jangan ketinggalan mencuba beberapa hidangan popular iaitu daging salai masak lemak, udang goreng mentega, ayam lemon, asam pedas ikan jenahak dan ketam lada hitam.
Untuk minuman pula, pengunjung boleh mencuba minuman jus buah kedondong dan durian Belanda istimewa yang sukar diperoleh di tempat lain.
Katanya, hidangan pencuci mulut seperti bubur pulut hitam, pulut mangga, wafel serta ais krim juga enak untuk dicuba dan pastinya ia memenuhi selera pengunjung terutama si kecil.
"Setakat hari ini, restoran ini menyediakan lebih 100 jenis hidangan serta 30 jenis minuman yang boleh dinikmati secara ala carte. Harga makanan di restoran ini juga berpatutan dengan apa yang pelanggan nikmati kerana kami komited untuk menyediakan hidangan terbaik supaya berbaloi dengan wang yang dibayar.
"Demi memenuhi cita rasa pelanggannya yang berbilang kaum, menu restoran berkenaan akan ditambah daripada semasa ke semasa," katanya,
Bagi memastikan semua pesanan mampu disiapkan dalam tempoh kurang 30 minit pada waktu puncak, Mohamad Zaki menggunakan lima tukang masak profesional yang mahir dalam penyediaan hidangan tempatan dan Asia. Mereka dibantu 30 kakitangan berpengalaman yang sentiasa mesra melayan pengunjung.
Menjelaskan keunikan konsep hiasan buluh yang digunakan di restoran itu, Mohamad Zaki berkata dia dan rakan pernah meninjau beberapa restoran popular di kawasan Lembah Klang tetapi belum ada yang menggunakan dekorasi sebegitu.
Katanya, buluh mampu menyejukkan suasana dan menjadikan kawasan restoran itu tenang serta nyaman sama ada pada waktu siang mahu pun malam.
"Tidak seperti kayu atau batu, buluh lebih membantu dalam menjadikan suasana sesuatu kawasan lebih sejuk dan nyaman. Kami membina 13 gazebo yang semuanya daripada buluh dan pelanggan boleh bersila ketika menikmati hidangan. Ia turut dilengkapi kemudahan WiFi. Selain gazebo, pengunjung juga boleh memilih untuk menikmati hidangan di ruang utama.
"Suasana di restoran ini lebih tenang pada waktu malam dengan bunyian cengkerik meskipun ia terletak tidak jauh dari lebuh raya," katanya.
Sementara itu, bersempena ketibaan bulan penuh keberkatan, Ramadan, tidak lama lagi, restoran itu mengadakan promosi hidangan buka puasa secara bufet.
Kata Mohamad Zaki, dia sedang meneliti beberapa menu hidangan yang akan disediakan tetapi apa yang pasti, menu popular masyarakat tempatan seperti masak lemak atau asam pedas tidak akan dilupakan.
"Restoran ini sesuai dijadikan lokasi menikmati hidangan bersama keluarga kerana ia menyediakan suasana makan menarik dan selesa dengan iringan muzik perlahan yang membelai jiwa.
"Pengunjung tidak perlu risau mengenai tempat letak kereta kerana restoran ini menyediakan ruang luas yang cukup untuk memuatkan 100 buah kereta.
"Lebih penting, kami turut menyediakan surau yang boleh memuatkan seramai 35 jemaah pada sesuatu masa," katanya.
|
| |
|
| |
|
|
|
|
 |
|
GET IT FROM
|
| |
| RATE |
|
|
| SOURCE |
By : Fairul Asmaini Mohd Pilus
Date : 28 Jul 2010
Source : Metro Ahad
|
|
|
|
| |
| |
| |
|
|
|
 |
|